Thursday, 20 September 2012

Kilang lutsinar

 

APA perasaan anda apabila melihat deretan kereta tersusun dalam menara berkaca menjangkau ketinggian 40 meter?

Tentu sekali rasa kagum maksimum dan tidak keterlaluan juga mengatakan ia ibarat mesin vending untuk kereta.

Inilah teknologi dalam industri automobil terhebat abad ini yang berlaku di kilang lut sinar atauTransparent Factory Volkswagen yang terletak di bandar Dresden, Jerman.

Kereta yang telah siap dipasang akan disimpan dalam menara kereta (car tower) bercermin dengan ciri binaan berteknologi canggih yang memuatkan kira-kira 280 kereta pada satu-satu masa.
Sebagai pembeli kereta, keterujaan pasti bertambah apabila melihat kenderaan baru anda diturunkan dengan platform khas terus ke hadapan anda.

Malah upacara penyerahan kereta kepada pelanggan juga dilakukan dalam bilik khas tertutup khusus untuk pelanggan saja dan dengan cara cukup simbolik seumpama pelancaran kereta baru di pasaran.
Umpama menyambut kedatangan seorang lagi 'ahli keluarga' baru, inilah konsep yang boleh disimpulkan apabila berada hampir seharian di kilang hebat ini.

Proses penghasilan kereta yang dihasilkan di balik cermin pula membolehkan pemilik kenderaan melihat sendiri proses kenderaannya dihasilkan.

Tiada rahsia, semuanya dilakukan secara profesional dan telus yang boleh dilihat menerusi dinding kaca yang memisahkan antara bahagian pembuatan dengan pelawat.

Kilang lutsinar Volkswagen yang terletak di Dresden, Jerman.


Itulah kehebatan teknologi kilang lut sinar yang telah dibina oleh jenama Volkswagen itu.
Kilang yang dalam bahasa Jerman disebut Die Glaserne Manufaktur, adalah inisiatif dan kebanggaan Volkswagen.
Ia sengaja dibina di Dresden, sebuah bandar berusia 800 tahun yang terkenal dengan sejarah, seni dan kraf tangan yang unggul.
Didirikan bersebelahan Sungai Elbe, kilang lut sinar itu dibina untuk pengeluaran kereta mewah Volkswagen model Phaeton.

Menurut Pegawai Perhubungan Media Automobimanufaktur Volkswagen, Christian F. Haacke, kilang itu dibina dengan matlamat untuk melaksanakan penghasilan kenderaan bertaraf dunia.
Malah katanya, ia bukan sahaja merupakan kilang yang canggih, malah dibina dalam persekitaran yang penuh kehijauan dan ketenangan.
"Sebab itu kami mahu memberitahu bahawa dengan datang ke sini, tidak kira sama ada pembeli kereta atau pelancong, mereka bukan sahaja dapat melihat bagaimana model Phaeton dihasilkan, malah boleh menikmati kehijauan taman botani yang ada di sekitar kilang ini," ujarnya ketika sesi penerangan kepada kumpulan media Malaysia baru-baru ini.
Seramai 12 wakil media telah dibawa eksklusif oleh Volkswagen Malaysia secara ke Jerman. Semuanya untuk melihat sendiri bagaimana kilang itu beroperasi dengan teknologi yang mengekalkan keindahan alam semula jadi.
"Sejak dibuka 10 tahun lalu, kilang ini telah menerima lebih sejuta pengunjung yang terdiri daripada pembeli kereta itu sendiri dan juga pelancong yang mahu melihat kehebatan kilang ini.
DERETAN model Volkswagen yang telah siap diletakkan di menara kereta.


"Boleh dikatakan kilang ini adalah sebagai satu simbol penghargaan terhadap budaya dan teknologi.
"Di bahagian dalam mereka dapat melihat bagaimana kereta dihasilkan manakala di luar kilang pula orang ramai boleh menonton layar gambar dan persembahan budaya dalam suasana sungguh santai di taman botani," jelasnya.

Kilang yang dibina dengan kos 186 juta Euro (RM754 juta) ini, terletak di kawasan seluas 100,000 meter persegi di tengah-tengah bandar Dresden.
Kedudukannya amat strategik dan berjiran dengan taman botani terbesar, Grosser Garten iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki dari pekan lama bandar berkenaan yang penuh dengan tinggalan sejarahnya.
Jika di Malaysia mungkin agak pelik wujudnya kilang membina kereta di tengah-tengah bandar. Tetapi tidak di Dresden yang membuktikan ia tetap boleh menyeimbangkan antara keperluan teknologi dan alam sekitar.
Yang pasti kehijauan alam sekitar tetap terpelihara sebaiknya tanpa menjejaskan kualiti udara mahupun ketenteraman di sekeliling.

Tampil dengan seni bina moden, kilang yang dibina dengan 27,500 meter persegi kaca itu adalah rekaan arkitek terkenal Jerman, Prof. Gunter Henn yang juga anak kelahiran Dresden dan pereka Autostadt iaitu Bandar Raya Kereta di Wolfsburg, Jerman.

Hampir keseluruhan dinding dibina dengan kaca manakala lantainya menggunakan kayu maple Kanada yang dianggap satu percaturan hebat antara teknologi dengan budaya masyarakat setempat.
Proses menunggu kereta siap pula mengambil masa selama empat hingga lima bulan.

Pada peringkat pertama, pembeli boleh berbincang bersama pegawai di satu ruangan yang cukup selesa, bagi menentukan apa saja daripada warna kereta, kemasan kayu mahupun gentian kaca, fabrik, aksesori seperti rim dan kerusi urut, sistem audio visual hinggalah sistem keselamatan.
Semuanya boleh dipilih atau ditempah khas mengikut cita rasa pemilik kereta.

Selepas itu pemilik boleh memantau pembikinan kereta mereka hinggalah hari kenderaan tersebut siap.
Dalam sehari kilang ini mengeluarkan kira-kira 56 buah kereta yang kebanyakan adalah model Volkswagen Phaeton.

Produksi di sini juga kebanyakannya adalah untuk pasaran tempatan, China dan Korea Selatan.
Selain kawasan pemasangan kereta, kilang itu turut dilengkapi bangunan pejabat, ruang pameran kereta, restoran, bilik tempahan kereta, ruang audio visual, kedai cenderamata dan ruang persembahan kebudayaan.


Ruang memilih rim dan jenis kemasan dalaman kereta yang memang selesa.



Bangunan yang dibina pada tahun 2002 itu mempunyai beberapa ciri unik. Antaranya, lantai di bahagian pembuatan bergerak bagi membolehkan pelawat melihat setiap peringkat proses pemasangan kereta.
Di samping itu, selain bahagian dinding kaca pelawat juga boleh melihat kerja-kerja pemasangan dari ruang pandang tinjau di tingkat dua.

"Kalau pembeli dari Malaysia hendak membeli Phaeton, mereka juga boleh datang ke sini dan melalui proses yang sama.

"Bayangkan saja kereta anda dibina mengikut cita rasa sendiri. Sebagai contoh ada pelanggan yang menambah ruang untuk menghisap cerut dan ada yang mahukan skrin televisyen semuanya boleh dilakukan.
"Pernah ada seorang pelanggan menunggu seawal 6.30 pagi selama tiga hari berturut-turut di kilang ini untuk melihat sendiri keretanya dipasang.

"Apabila disedari pengurusan kilang, pelanggan itu diberikan peluang untuk menurunkan tandatangannya di dalam kereta sebagai identiti khusus keretanya," kata Haacke
Seramai 500 pekerja di kilang ini dengan 300 daripadanya di bahagian pembuatan, menjadikan kilang produksi di sini cukup efisien.

Di bahagian tertentu, kebanyakan kerja dilakukan dengan bantuan robot manakala sistem pengangkutan kargo menggunakan perkhidmatan kargo keretapi elektrik (tram kargo) selain lori kontena.
Sesuai dengan lokasi yang terletak di tengah bandar, kilang telus ini mengendalikan pemasangan kereta peringkat akhir saja.

Semua proses yang mengeluarkan bau, operasi kilang yang bising, seperti kimpalan dan kerja mengecat dan mengetuk hanya dilakukan di Zwickau daerah yang terletak tidak jauh dari Dresden.

Kredit

Enhanced by Zemanta


EmoticonEmoticon

Artikel Pilihan

Blog Archive

Total Pageviews

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogged.my