KUALA LUMPUR: Duit rakyat terus menjadi mangsa apabila kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM400 juta kepada sembilan syarikat konsesi lebuh raya akibat daripada perjanjian yang berat sebelah sekarang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, sudah sampai masanya perjanjian itu didedahkan untuk pengetahuan umum agar seluruh rakyat tahu kandungan sebenar perjanjian tersebut.
Jelasnya lagi, kerajaan tidak perlu lagi mengambil duit rakyat melalui pengurangan subsidi dengan tujuan melindungi syarikat konsesi tersebut.
"Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri kelmarin mengenai pampasan RM400 juta menunjukkan wang rakyat terus menjadi mangsa.
"Ini akibat yang terpaksa ditanggung oleh rakyat hasil daripada perjanjian 'bodoh' atau berat sebelah sehinggakan kerajaan akur dengan desakan syarikat pemegang konsesi.
"Kita tidak mahu terus menjadi mangsa dan sudah sampai masanya perjanjian tersebut didedahkan kepada pengetahuan umum, apa sebenarnya yang terkandung di sebalik perjanjian rahsia itu," jelasnya kepada Harakahdaily
Beliau yang turut mempersoalkan kenyataan kerajaan yang mahu membuat kajian menyeluruh terhadap konsesi yang sedia ada.
Jelas beliau, sebelum ini kerajaan telah pun menyuarakan hasrat untuk mengkaji balik konsesi tersebut apabila berlakunya desakan kenaikan kadar tol dan pembayaran pampasan, namun sehingga sekarang tidak ada sebarang jawapan daripada kajian tersebut.
"Tak usah kaji tetapi tunjuk dulu kajian yang dilakukan sebelum ini, kita ingin tahu apa keputusan yang diperolehi hasil kajian lepas.
"Kerajaan tidak perlu berdolak dalik ingin membuat kajian konsesi itu semua alasan semata-mata," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Dalam masa yang sama, Mahfuz turut menyatakan pemgumuman pembayaran pampasan itu tidak mengurangkan beban rakyat sebaliknya terus terbeban dengan keputusan kerajaan apabila berlaku pengurang subsidi nanti.
Mahfuz tidak menolak selagi kerajaan patuh kepada desakan syarikat konsesi tol, pampasan akan tetap dibayar pada tahun hadapan.
"Rakyat kena tahu Barisan Nasional (BN) adalah pentgutip tol, mereka ambik wang rakyat untuk kroni. Selagi mereka akur dan ingin melindungi kroni saya pasti tahun hadapan perkara yang sama akan berulang," katanya.----HD
EmoticonEmoticon