Wednesday 19 December 2012

Kepentingan Memiliki USP Perniagaan



Pernahkah anda mendengar terma “Unique Selling Proposition” (USP)? USP ialah sesuatu yang membezakan anda daripada pesaing-pesaing anda di luar sana. Ia boleh dalam bentuk satu moto khas yang menggambarkan kepakaran anda, atau gambaran yang memberikan kepuasan kepada pelanggan, ataupun persepsi pelanggan semata-mata apabila nama perniagaan anda disebut. Walau apapun USP perniagaan anda, anda harus fokus untuk menunjukkan bahawa perniagaan anda akan menguntungkan pelanggan anda. Ia merupakan strategi penjenamaan yang amat baik.
Sebagai contoh, USP untuk produk syarikat pengeluar roti Gardenia adalah “Sungguh enak dimakan begitu saja” yang menunjukkan rasa roti ini sendiri sudah enak dan tidak perlu ditambah dengan rasa jem atau rasa tambahan lain. Dari perspektif pengguna, sekiranya diberi pilihan antara roti Gardenia dan roti berjenama XYZ, besar kemungkinan mereka akan memilih roti Gardenia berbanding roti berjenama XYZ itu tadi atas dasar penjenamaan USP yang dimiliki oleh syarikat roti Gardenia.
Tahukah anda bahawa setiap perniagaan disarankan untuk mempunyai USP tersendiri sebagai satu strategi penjenamaan yang efektif? Mari kita lihat apakah kelebihan-kelebihan mempunyai USP dalam perniagaan Internet anda.
1. Anda lebih menonjol berbanding pesaing-pesaing anda
Dengan hanya memiliki USP, anda sudah tergolong dalam kumpulan kecil yang mengambil satu langkah lebih hampir untuk menarik perhatian prospek pelanggan anda. Dengan memiliki USP yang unik dan lain daripada pesaing-pesaing anda, sudah tentu anda akan lebih menonjol di dalam bidang perniagaan anda.
2. Meningkatkan potensi pelanggan memilih anda berbanding pesaing anda
Sekiranya diberi pilihan antara produk anda yang mempunyai USP dengan produk usahawan lain yang tidak mempunyai USP, pelanggan akan terdorong untuk memilih produk anda berbanding produk yang satu lagi tadi. Ini ialah satu aspek psikologi untuk memujuk pelanggan anda secara halus untuk membeli produk anda berbanding produk lain di pasaran.
3. Anda mempunyai penjenamaan yang kukuh dalam jangka masa panjang
Oleh kerana fokus anda adalah untuk menapak dari segi penjenamaan yang kukuh untuk menjana keuntungan dalam perniagaan anda, sudah tentu anda akan mengambil langkah bijak untuk memperkenalkan USP anda kepada prospek pelanggan anda. Dalam jangka panjang, pelanggan akan menghargai anda sebagai usahawan berjaya atas dasar USP anda.
Anda jangan pula kecewa sekiranya anda tidak mempunyai USP anda sendiri. Kenapa tidak hasilkan USP anda sekarang? Ia tidaklah sesukar yang anda sangkakan. Untuk memberikan idea bagaimana mendapatkan USP yang sesuai untuk perniagaan Internet anda, anda boleh lakukan sedikit checklist seperti berikut:
1. Apakah jenis perniagaan anda?
Anda perlu kaji jenis dan kekuatan perniagaan anda, adakah ia perkhidmatan membina laman web, percetakan, menjual barangan secara dropship, suntingan kerja penulisan dan sebagainya.
2. Bagaimana anda menjalankan perniagaan anda?
Kemudian anda perlu kaji cara anda menjalankan perniagaan anda, adakah ia secara online atau offline, ataupun keduanya sekali, adakah anda menerima tempahan 24 jam sehari atau waktu bekerja sahaja, ataupun secara bermusim (seperti perniagaan kuih raya di musim perayaan).
3. Apakah kelebihan dan kekurangan anda? 
Anda juga perlu senaraikan apakah kelebihan yang anda boleh tawarkan kepada pelanggan anda, seperti hadiah bonus dengan setiap pembelian, ataupun harga diskaun bagi pembelian seterusnya. Di samping itu, anda juga perlu senaraikan kekurangan perniagaan anda, untuk anda cuba atasi dalam usaha untuk menambat hati lebih ramai prospek pelanggan anda.
4. Apakah keinginan pelanggan-pelanggan anda?
Seterusnya anda perlu kaji apakah yang diinginkan oleh pelanggan-pelanggan anda. Ini mungkin bermaksud pelanggan anda mempunyai satu masalah tertentu, dan produk anda berpotensi menyelesaikan masalah tersebut, sudah tentu anda akan tonjolkan potensi ini untuk memenuhi keperluan pelanggan anda.
5. Apakah yang ditawarkan oleh pesaing-pesaing anda?
 Setelah anda mengkaji perkara-perkara yang berkaitan dengan perniagaan anda sendiri, dan juga keinginan pelanggan-pelanggan, anda juga perlu mengkaji apakah yang ditawarkan oleh pesaing-pesaing anda. Apakah kelebihan yang mereka miliki yang anda perlu usaha untuk perbaiki dalam perniagaan anda, dan apakah kekurangan mereka yang anda boleh atasi.
Hasil daripada checklist di atas anda akan jelas untuk menghasilkan USP untuk perniagaan anda yang boleh menonjolkan kelebihan anda yang memenuhi keinginan pelanggan dan kelebihan ini tidak ditawarkan oleh pesaing-pesaing anda. Sudah tentu pelanggan akan condong untuk memilih anda berbanding orang lain.
Selamat mencuba!

Tuesday 18 December 2012

Kepentingan Mentor Untuk Usahawan Internet



Sekiranya anda baru sahaja menceburkan diri dalam bidang keusahawanan Internet, anda memerlukan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi seorang usahawan Internet yang berjaya. Sudah tentu anda boleh menghabiskan masa untuk mendalami ilmu-ilmu berkenaan keusahawanan Internet, membeli produk dan kursus yang melatih anda untuk berjaya. Namun pernahkah anda terfikir untuk mendapatkan seorang mentor untuk anda ikuti jejak langkah kejayaan beliau?
Sebenarnya, dengan cara memiliki mentor untuk perniagaan anda akan memberikan beberapa kelebihan. Mari kita lihat satu per satu kelebihan-kelebihan tersebut.
1. Belajar dari ilmu dan pengalaman mentor
Oleh kerana mentor lazimnya adalah seorang yang lebih lama berada dalam dunia perniagaan Internet, sudah tentu mereka mempunyai ilmu dan pengalaman masing-masing. Sebagai mentee, anda boleh belajar dari ilmu mentor anda bagaimana untuk memulakan sesuatu perniagaan dalam niche pilihan anda, di samping mempelajari daripada pengalaman mentor anda. Apakah yang telah dilaluinya untuk mencapai posisi beliau sekarang? Apakah kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini yang sudah tentu anda perlu elakkan dalam perniagaan anda sendiri? Semua persoalan ini boleh dijawab oleh mentor anda.
2. Tunjuk ajar dan nasihat untuk memperbaiki diri sendiri
Anda juga boleh memanfaatkan tunjuk ajar dan nasihat mentor anda bagi tujuan memperbaiki diri anda sendiri sebagai seorang usahawan Internet. Dengan mendengar dan melihat rutin mentor, anda akan mempunyai gambaran bagaimana untuk menjalankan perniagaan dengan jayanya.
3. Berkongsi sumber-sumber yang digunakan oleh mentor
Sekiranya anda beruntung, mentor anda akan mendedahkan sumber-sumber yang beliau sendiri gunakan untuk perniagaan beliau, seperti perkhidmatan penulisan ebook, rekaan grafik, penulisan auresponder, percetakan dan sebagainya. Dengan cara ini, anda tidak perlu meneliti satu persatu produk atau perkhidmatan yang anda boleh gunakan untuk perniagaan anda. Sebaliknya, mentor anda telahpun menyaring sumber-sumber ini kerana kecekapan mereka dan rekod perkhidmatan yang memuaskan, dan anda cuma perlu menggunakan sahaja sumber-sumber ini.
4. Asas yang baik untuk rangkaian jangka panjang
Dengan memiliki mentor, anda sebenarnya meletakkan asas yang baik untuk rangkaian perniagaan anda pada jangka masa panjang. Ini adalah kerana mentor anda telah lebih lama berkecimpung dalam perniagaan Internet, beliau telahpun membina rangkaian yang kukuh untuk perniagaan beliau. Sebagai anak murid beliau, anda sebenarnya mengambil jalan singkat untuk mencelah masuk ke dalam rangkaian mentor anda tadi.
Setelah mengetahui kelebihan-kelebihan mempunyai mentor untuk perniagaan anda, mungkin anda tertanya-tanya bagaimanakah untuk memilih mentor yang sesuai untuk anda? Berikut diberikan beberapa tip untuk anda aplikasikan.
1. Dapatkan pandangan rakan-rakan usahawan
Sudah tentu tip yang paling asas adalah dengan bertanyakan pandangan rakan-rakan usahawan yang lain. Terdapat beberapa medium Facebook, Twitter dan forum yang anda boleh bertanyakan pandangan tersebut. Sebagai orang baru, anda tidak perlu segan silu bertanya. Dan biasanya, anda akan mendapat maklum balas yang memuaskan daripada rakan-rakan usahawan anda yang telahpun melalui proses mentoring sebelum ini dan mereka mungkin mencadangkan beberapa orang prospek mentor yang anda boleh pertimbangkan.
2. Mentor yang sesuai dengan keperluan anda
Anda boleh gariskan kekurangan diri dan perniagaan anda dan senaraikan beberapa prospek mentor untuk dipertimbangkan. Pilihlah mentor yang sesuai dengan keperluan anda. Seorang usahawan paling terkemuka di dunia besar kemungkinan bukan prospek mentor yang terbaik untuk anda kerana mungkin ilmu dan pengalaman mereka sudah mencapai tahap paling tinggi, dan tidak bersesuaian untuk orang baru seperti anda.
3. Perhatikan kaedah komunikasi dengan mentor
Semak kaedah komunikasi dengan mentor, adakah anda diberikan peluang bersua muka dengan mentor anda, atau sekadar online chat sekali setiap minggu, ataupun komunikasi melalui emel sahaja dan terhad kepada satu emel setiap bulan? Sudah tentu anda inginkan seorang mentor yang boleh kerap berkomunikasi dengan anda bagi memenuhi keperluan perniagaan Internet anda.
4. Kelaziman anda boleh mendapatkan khidmat mentoring
Tip seterusnya adalah berapa lazim anda boleh mendapatkan khidmat mentoring daripada mentor anda, selain daripada kaedah komunikasi yang telah ditetapkan. Anda mungkin berdepan dengan situasi yang memerlukan khidmat nasihat segera daripada mentor anda, dan anda perlu yakin bahawa mentor anda sedia mendengar masalah anda untuk perbincangan dan nasihat penyelesaian.
Itulah dia perkongsian ringkas mengenai kelebihan-kelebihan mentoring untuk seorang usahawan Internet seperti anda, dan beberapa tip ringkas bagaimana untuk memilih mentor yang sesuai dengan keperluan anda.

Pemasaran Menggunakan Pinterest



Sama seperti mana-mana rangkaian portal sosial lain yang menawarkan beberapa teknik pemasaran yang membolehkan anda memperkenalkan syarikat atau jenama anda kepada pelanggan baru seperti Facebook dan Twitter - Pinterest juga mempunyai fungsi yang sama. Terdapat beberapa aktiviti yang anda boleh lakukan untuk menggembangkan perniagaan anda. Anda seharusnya fokus untuk mendapatkan pengiktirafan jenama untuk produk dan perkhidmatan anda, dan mendapatkan trafik tertentu ke laman web anda. Setelah mereka tiba di laman web anda, sudah tentu anda ingin menukarkan trafik ini kepada pelanggan anda dan mendapatkan jualan daripada pengunjung tersebut. Jadi, mari kita mulakan. Sudahkah anda bersedia untuk menjadi kreatif?
Pinterest ialah satu laman web sosial yang menggunakan konsep visual. Oleh itu, perkara paling asas adalah anda perlu meletakkan kandungan berbentuk visual di dalam ruangan Pinterest anda. Anda akan membuat papan pin dan kemudian memaparkan kandungan visual anda yang terbaik di sana.
Secara mudahnya, konsep Pinterest adalah seperti anda sedang mengantung satu papan tanda mengenai diri anda yang boleh dilihat oleh semua orang yang menggunjungi portal Pinterest anda. Lebih banyak perkara yang anda paparkan di atas “papan tanda” anda itu maka akan lebih faham pengunjung anda tentang diri anda. Gunakan kreativiti anda untuk meletakkan nama papan tanda tadi, jadikannya sesuatu yang menarik perhatian dan mudah diingati. Apabila papan tanda tadi sudah dibuat, anda sudah bersedia untuk memaparkan kandungan kepadanya.
Laman muka surat dan gambar yang anda paparkan di papan ini mestilah lebih daripada gambar biasa. Pastikan ia sesuatu yang menarik perhatian supaya pengunjung akan singgah untuk mengamatinya dengan lebih teliti. Paparan yang tidak menarik sesiapapun tidak akan memberi nilai kepada perniagaan internet anda. Ingat bahawa anda juga boleh memaparkan video, yang sebenarnya amat mudah untuk dilakukan.
Kebanyakan daripada jenama perniagaan yang besar memberikan perhatian kepada kehebatan pemasaran visual secara online, dan bagaimana ia boleh menimbulkan emosi yang diinginkan daripada pengikut. Syarikat-syarikat berjenama besar telah lama menggunakan pemasaran visual melalui iklan di television dan majalah sejak sekian lama. Portal Pinterest ini cuma menjadikan pemasaran visual ini lebih menarik melalui internet.
Salah satu platform yang digunakan ialah Instagram untuk iPhone atau Android. Namun hingga kini, ia belum disediakan untuk Blackberry. Instagram membolehkan perniagaan-perniagaan untuk menggunakan gambar sebagai sebahagian daripada skim pemasaran dalaman mereka. Bahkan lagi, dalam beberapa tahun sahaja Instagram telah mempunyai lebih daripada 15 juta pengguna yang telah memuatnaik 400 juta gambar. Syarikat-syarikat seperti Starbucks dan Red Bull mengunakan Instagram dalam pemasaran dalaman mereka. Anda perlu mengambil kesempatan atas aplikasi yang berguna ini.
Sebenarnya Pinterest menyediakan peluang pemasaran yang amat berkuasa. Oleh kerana Pinterest adalah laman web yang masih baru  dan menggunakan konsep media sosial, ramai yang menyedari akan laman web ini, namun tidak ramai yang menyedari bahawa ia adalah satu alat yang mereka patut gunakan untuk memasarkan perniagaan mereka, dan menghantar trafik tertentu kepada laman web mereka. Saya telah memberitahu anda rahsia ini. Persoalannya sekarang, apa yang anda akan lakukan dengan maklumat ini? Sekarang ini anda mempunyai peluang untuk menjadi antara yang terawal menggunakannya.
Oleh itu, carilah peluang bagaimana anda boleh menggunakan portalPinterest sebagai salah satu cara untuk anda melakukan pemasaran percuma dan berkesan untuk perniagaan internet anda.
Enhanced by Zemanta
JomAffiliate Bahasa Melayu Webinar

Artikel Pilihan

Total Pageviews

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogged.my