Friday 7 February 2014

Survey Seks pada pelajar: Rasional atau tidak?

Pemuda PAS Malaysia (PPM) kesal dengan kajian tinjauan awam (survey) mengenai kecenderungan dan aktiviti seksual yang dijalankan terhadap para pelajar sekolah 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Nilai minggu lalu.
 
Daripada pendedahan kes yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB J Arulkumar, kajian tersebut tidak diselia secara rasmi oleh pihak jabatan pendidikan termasuk pakar. Perkara ini dibimbangi boleh mengelirukan responden dalam kalangan para pelajar sekolah rendah termasuk ibu bapa mereka.
 
Meskipun mungkin objektif kajian itu adalah baik, namun tindakan tersebut kurang sesuai dan boleh memberikan implikasi negatif. Seharusnya, mereka diberikan pendedahan kepada asas-asas pembinaan kualiti insan bukan membuka persoalan-persoalan yang kurang sesuai dengan umur mereka.
 
Kajian seumpama ini dijangka berkaitan dengan cadangan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 untuk menggubal kurikulum modul pendidikan seks ekoran peningkatan kes buang bayi dikalangan remaja. Namun, modul tersebut masih dalam pendebatan.
 
Pada bulan Jun 2010, sekumpulan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan kajian bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dan telah mendedahkan 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar terdedah kepada seks bebas sehingga menggugurkan janin. Ia berpunca daripada kekurangan penerapan latihan akhlak yang baik.
 
Oleh hal yang demikian, kami berharap agar pihak sekolah terus menyuburkan agenda pendidikan Islam dan moral dikalangan pelajar untuk mengukuh jatidiri mereka bagi mendepani cabaran semasa yang terlalu rencam hari ini.
 
Islam menegaskan dalam peringkat usia kanak-kanak sekitar 7 hingga 14 tahun, mereka seharusnya ditekankan kepada aspek pelaksanaan ibadah dengan penuh bertanggungjawab. Malah, adalah lebih efektif sekiranya ibu bapa mengambil peranan dan memberikan pendedahan awal mengenai perkara-perkara ini terhadap para pelajar di rumah.   

Pemuda PAS Malaysia menyeru rakyat Malaysia seluruhnya supaya kita dapat bersama-sama memberikan usaha yg terbaik dalam mengawal selia penglibatan anak-anak kita. Didiklah mereka dgn agama dgn mengenal Tuhannya kerana itulah yang akan menjadi ketahanan jatidiri mereka.

Ir Khairil Nizam Khirudin, 
Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia


EmoticonEmoticon

Artikel Pilihan

Blog Archive

Total Pageviews

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Blogged.my